Saturday, January 30, 2010

Kehidupan Seorang Sami Buddha


Kawan-kawan mesti tertanya-tanya kenapa sekarang baru saya berkongsi pengalaman saya sebagai seorang sami buddha. Maaflah, saya sibuk sejak pulang dari kursus meditasi di Tanah Tinggi Cameron dan juga melancong ke Genting Highlands.Sekarang, saya ingin berkongsi pengalaman saya sebagai seorang sami buddha selama 13 hari.

Rancangan ini dipanggil "Samanera(sami budak lelaki)and Sikkhavati(sami budak perempuan)Novitiate Programme". Rancangan ini dijalankan selama 13 hari di Nirodharma Meditation Centre yang bertempat di sebuah ladang kelapa sawit di Ayer Tawar. Seramai 30 orang budak lelaki dan 7 orang budak perempuan menyertai program ini. Mereka berumur dari 9 tahun hingga 16 tahun.

Saya pernah menyertainya pada tahun 2007 dan 2008. Penyertaan saya dalam program ini telah membolehkan saya berehat minda dan badan saya dalam tempoh itu setelah penat belajar sepanjang tahun. Bagi ramai ibubapa, tujuan mereka menghantar anak-anak mereka menyertai program ini adalah untuk melatih mereka menjadi insan yang mulia berlandaskan ajaran agama Buddha. Ini lebih baik daripada bergoyang kaki di rumah sepanjang cuti sekolah di samping dapat berkawan dengan ramai rakan sebaya.

Masih ingat tahun itu kali pertama saya menjadi sami buddha. Saya dan adik-beradik sampai sehari awal sebelum permulaan program tersebut. Berpakaian putih, kami kelihatan suci dan mulia.Setelah menerima 8 "sila"(larangan seorang yang bertapa), saya tidak boleh menolak-nolak dan bermain-main dengan adik mahupun ayah kerana mereka merupakan kaum lelaki. Kaum perempuan hendaklah kurangkan konversasi dengan lelaki. Begitu juga dengan mereka. Tetapi, berkat larangan ini saya lebih berinteraksi dengan adik-adik perempuan di bawah jagaan saya.

8 sila ini termasuklah:-
Tidak membunuh
Tidak mencuri
Tidak berzina
Tidak berbohong
Tidak minum minuman keras
Tidak bersolek dan mendandan
Tidak menyanyi dan berhibur
Tidak makan setelah tengah hari

5 yang pertama itu merupakan pegangan asas sebagai seorang individu. Saya percaya kalian mesti mematuhi sila-sila ini secara tidak sengaja dalam kehidupan harian dan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan, tidak dapat dibuang. Jangan salah faham, ini tabiat yang baik. Sekian untuk hari ini. Saya akan sambung minggu depan.