Saturday, September 19, 2009

Kereta Api

               

           
                 Guruh berdentum di langit, dahan pokok melambai-lambai ditiup angin. Angin dingin mencium pipiku dan bermain dengan rambutku yang berterbangan.

                " Wah, segar rasanya!" bisik hatiku. Aku melihat sekelilingku. Kereta api belum sampai lagi. Tak ramai orang yang menunggu di stesen ini. Jika ada, pun pasangan kekasih dan beberapa orang pelajar universiti dan kolej berhampiran. Ini kali pertama aku menaiki kereta api bersendirian. Destinasiku -- KL Sentral.

                Hatiku berdebar-debar, telefon bimbitku menunjuk pukul 6.00 petang. "Kereta api akan sampai 15 minit lagi..." fikir saya. Saya meneliti papan kenyataan. "Banyaknya stesen yang saya akan lalui sebelum sampai ke destinasiku!" bisik aku. Pasangan kekasih yang juga sedang melihat papan kenyataan terkejut dengan kemunculan saya. Muka mereka menjadi merah seperti epal. Comelnya! Semua orang yang menaiki kereta api ada teman. Hanya aku yang bersendirian. Kesianku...
          
                "WOO!...WOO!..." kereta api bergegas ke arah kita. Saya berundur dengan cepat supaya tidak terjatuh ke atas landasan kereta api. Saya tidak mahu kehilangan nyawaku yang berharga ini. Saya belum memberi apa-apa sumbangan kepada alam ini. Aku tidak akan meninggalkan alam yang aku cintai semudah ini.

                 Aku menaiki kereta api dan mencari tempat duduk aku. "Hmm...4A...4A di mana ya?" Aku ternampak seorang pakcik duduk di sebelah tempat dudukku. "Malangnya saya" bisik hatiku, lalu mengambil tempat dudukku. Tiba-tiba, pakcik itu menukar tempat duduknya ke barisan sebelah. Aku baru sedar. Rupa-rupanya dia duduk di tempat yang salah! Kesian saya lihat pelajar perempuan yang duduk bersebelahan dengannya.

                 Tak lama setelah aku meraikan tuahku, seorang pemuda masuk lalu duduk di sebelah aku. Aku terkejut! "Wah, busuknya. Apa bau asap ini?" rungut aku. Aku tidak suka lelaki duduk di sebelah aku. Aku fikir, alangkah baiknya aku mempunyai seorang teman menemaniku ke KL. Aku akui, aku ini naif. Mana ada orang yang sanggup menemaniku ke KL semata-mata untuk menghilang kebosananku? Mataku terlekat pada skrin LCD samsung yang terletak di kedua-dua hujung kereta api. Kartun "Tom and Tweety" sedang disiarkan. Aku tidak dapat lelapkan mata. Kelakuan Tom dan Tweety memang kelakar. Semua penumpang di kereta api ketawa terbahak-bahak melihat aksi mereka.

                  Saya berasa lapar. Baru saya ingat, saya belum makan malam. Alangkah baiknya kalau dapat membeli makanan sekarang. Kebetulannya, seorang pemuda menolak sebuah troli yang dipenuhi dengan kuih muih dan makanan yang lain. Pemuda di sebelahku minta karipap dan sebungkus kacang. Saya turut memesan dua karipap. Setelah mengisi perut, saya mengeluarkan nota Fizik yang saya membawa untuk mengisi masa lapang saya.

                 Tidak lama kemudian, perhatianku ditarik ke skrin sekali lagi. "Adakah 6 juta nyawa disediakan untuk menantikan saat ini?.....Tidak." perkataan ini disiarkan dan satu gambar yang asalnya dipenuhi oleh gunung-ganang Banjaran Himalaya berubah menjadi ombak yang besar dan memusnahkan sebuah tokong yang dibina atas gunung itu. Ini tajuk sebuah filem yang baru ditayangkan, iaitu "2012". Saya sedar bahawa manusia telah mengambil ringan tentang isu bencana alam sekitar. Kita tidak sedar bahawa bencana akan melanda kita sekiranya kita terus bersikap sambil lewa dalam menangani isu ini.
                
                 Saya melihat keluar dari tingkap. Hujan turun dengan renyai dari langit. Pemandangan di luar begitu gelap sekali dibasahi hujan. Aku berasa mengantuk. Kelompak mataku tidak dapat lagi bertahan lalu tertutup. Aku terlena... Aku sedar dan tidur dalam goyangan kereta api. Tidak lama kemudian, kereta api berhenti di stesen Kepong Sentral. Aku panik. Adakah ini destinasiku? Tidak rasanya, tidak ramai penumpang yang turun di stesen ini. Mungkin KL Sentral ialah stesen yang seterusnya.

                 Mujur emak menelefon aku. Aku beritahunya bahawa kereta api yang aku naiki singgah di stesen Kepong Sentral, rasanya tak lama lagi aku sampailah. Tetapi emak memberitahu aku bahawa setengah jam lagi untuk aku sampai di KL Sentral. Dia akan tunggu aku di sana. Aku menamatkan panggilannya. Baiklah, aku tidur lagi.

                Malangnya, aku sedar setiap kali kereta api singgah di stesen. Aku takut nanti aku terlepas KL Sentral lalu pergi ke hujung dunia! Pemuda yang duduk di sebelah aku turun di stesen ketiga setelah Kepong Sentral. Hati aku berasa lega. Tak perlulah aku menghidu baunya yang busuk lagi! Tidak lama kemudian, kereta api pun singgah di Stesen Kereta Api lama KL untuk memberi laluan kepada kereta api yang lain. 20 lebih minit berlalu, kereta api pun bergerak untuk memasuki stesen KL Sentral. Kami melepasi beberapa stesen lalu sampai ke KL Sentral.

                Aku keluar dari kereta api. Hatiku dipenuhi dengan rasa kejayaan. Aku boleh! Aku sampai di KL dengan selamat tanpa mengalami sebarang masalah. Aku naik lift dengan ramai penumpang yang baru sampai stesen ini. Semasa pintu lift terbuka, Aku ternampak emakku melambai tangan kepada aku. Aku tersenyum lebar. Aku berjaya membuktikan aku mampu berdikari.

               Inilah cara seseorang ibu memupuk semangat berdikari dalam anaknya.